Berapa banyakkah penggunaan elektrik di Malaysia oleh
kira-kira 27.4 juta penduduknya seharian untuk menonton televisyen, melayari
internet menggunakan komputer, menyejukkan minuman melalui peti sejuk atau
menyegarkan badan di bawah aliran penyaman udara?
Selain persoalan itu, timbul lagi pertanyaan yang
menggusarkan kepala iaitu berapa banyak tenaga yang dibazirkan melalui
penyalahgunaan elektrik, terbebas tanpa kawalan?
Justeru, masyarakat perlu faham keperluan tenaga amat
penting dalam kitaran kehidupan manusia apatah lagi ia bersangkut paut dengan
pemanasan global yang menjadi isu hangat seluruh penduduk dunia.
Tenaga didefinasikan sebagai kebolehan dan keupayaan sistem
untuk bergerak (mengikut definisi Greek) manakala difinisi standard ialah
keupayaan melakukan kerja seperti menggerakkan kereta atau menghidupkan
monitor. Kita harus memfokuskan tenaga yang dihasilkan melalui elektrik kerana
ia sumber utama di negara ini dibekalkan Tenaga Nasional Berhad (TNB)
digerakkan dengan hidro atau haba (arang batu, minyak atau gas asli).
Menurut Pengurus Kerja Aktiviti Universiti, Pusat
Pendidikan Latihan dan Penyelidikan Pembaharuan serta Kecekapan Tenaga, Prof
Madya Dr Haslan Abu Hassan, persoalan mengenai perbelanjaan wang ringgit
dibangkitkan jika berbincang mengenai kecekapan tenaga.”Sebagai contoh,
sebenarnya lampu pijar yang dibeli memiliki kecekapan tenaga rendah iaitu lima
peratus. Ini kerana daripada jumlah RM10 dibelanjakan untuk sebiji lampu itu,
hanya 50 sen menukarnya menjadi cahaya sementara RM9.50 lagi hanya memanaskan
rumah akibat pembebasan tenaga,” kata Dr Haslan.

Kecekapan tenaga elektrik memberi kebaikan dalam kehidupan
manusia merangkumi pelbagai perkara termasuk mengelakkan pembaziran dan
perkakasan kos efektif demi masa depan tenaga yang lebih cemerlang. Ia mampu
mengurangkan keperluan pelaburan dalam prasarana, menjimatkan kos minyak,
meningkatkan daya saing dan memperbaharui kebajikan pengguna. Alam sekitar juga
turut terjamin apabila gas rumah hijau berjaya dikekang selain masalah
pencemaran udara dapat diatasi.
Mengikut konteks Malaysia, kecekapan tenaga mengurangkan
bil di rumah yang kerap dibazirkan sama ada disedari atau tidak.